Gua Gunung Runtuh

Gua Gunung Runtuh terletak pada latitud 5° 7′ 3″ Utara dan longtitud 100° 58′ 3″ Timur di bukit Kepala Gajah serta berada kira-kira 105 meter pada aras laut. Perjalanan ke Gua Gunung Runtuh memakan masa selama 45 minit menerusi Kampung Ulu Jepai berdekatan Kampung Gelok, Lenggong. Penyelidikan di Gua Gunung Runtuh telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia USM dengan kerjasama Jabatan Muzium dan Antikuiti dalam tahun 1990. Penemuan terpenting di gua ini ialah rangka manusia yang dinamakan Perak Man oleh Prof. Emiritius Dato’ Zuraina Majid.

perakman

Perak Man merupakan rangka manusia yang terlengkap sekali di Asia Tenggara untuk Zaman Paleolitik. Beliau dilahirkan dengan kecacatan genetik (Brachymesophalangia). Pentarikhan radiokarbonnya ialah 10, 120±110 B.P (Beta 38394). Perak Man telah dikebumikan dengan satu upacara amal dan keadaan berlipat iaitu kedua-dua kakinya dilipatkan ke bahagian badan dan tangannya diletakkan di atas dada dan bahu. Perak Man juga dikirimkan dengan alat-alat batu, daging dan beribu siput sedut yang ditaburkan di sekeliling badannya. Perak Man ialah seorang lelaki berusia 40-45 tahun, 154 sm tinggi, sihat semasa hidupnya, memakan makanan berserat dan kerap mencangkung. Beliau dilahirkan cacat, tetapi hidup lebih lama daripada masyarakat sezamannya yang hidup selama 20-30 tahun sahaja.

Back to Top