Gua Kajang

guakajang-main

Gua Kajang terletak dalam kompleks batu kapur Bukit Kepala Gajah. Gua ini berada pada kedudukan latitud 5′ 07.57′ utara dan longitud 100′ 58.87′ timur, dengan ketinggian 76 meter di atas aras laut. Pada masa ini, sebahagian besar lantai gua telah termusnah akibat aktiviti pengambilan baja guano dan banyak dinding gua yang diconteng dengan lukisan baru. Gua ini adalah gua yang pertama dijalankan ekskavasi di negara ini, iaitu pada tahun 1917 oleh Evans. Kajian pertama ini menemui pecahan tembikar, alat batu, sisa makanan dan juga tinggalan rangka manusia. Kajian lanjutan oleh USM telah menemui bukti Gua Kajang telah digunakan sejak 11,000 hingga 5,000 tahun dahulu.

Berdasarkan kajian, gua ini dihuni dan dijadikan kawasan pengebumian yang melibatkan dua budaya iaitu Paleolitik dan Neolitik. Pengebumian Paleolitik mendedahkan rangka manusia (GK1) yang bertarikh 10,820 +/- 60BP, dikebumikan dalam keadaan terlipat bersama kiriman pengebumian sisa makanan, alat batu unifas dan bifas. Pada perbezaan 20sm kedalaman, pada jarak satu meter ke tenggara GK1, ditemui pengebumian Neolitik (GK2) yang bertarikh 7,890 +/- 80BP, dikebumikan dalam keadaan memanjang bersama sisa makanan, alat batu dan tembikar.

Data ini mendedahkan dua perkara penting, iaitu (1) merupakan usia tertua tembikar negara, dan (2) berlaku keterusan budaya Paleolitik sehingga awal Holosen. Selain bukti arkeologi, Gua Kajang juga mendedahkan formasi gua yang menarik, berbentuk terowong dan banyak stalaktit dan stalagmit.

Back to Top