Gua Teluk Kelawar

guatelukkelawar-main

Gua Teluk Kelawar terletak di Bukit Kepala Gajah, kira-kira 1 km dari pekan Lenggong, Perak. Kajian arkeologi di Gua Teluk Kelawar oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia telah dimulakan semenjak 1990 hingga kini. Pelindung gua batu kapur ini telah digunakan oleh manusia seawal 10,000 tahun dahulu sebagai kem persinggahan. Ekskavasi arkeologi di Gua Teluk Kelawar telah menemui banyak alat batu, sisa-sisa makanan yang terdiri daripada tulang haiwan, cengkerang dan kepingan tembikar.

Alat batu yang ditemui termasuk alat pebel unifas dan bifas, batu pemukul, batu pelandas, batu teras dan sisa serpihan. Alat-alat batu ini mempunyai persamaan teknologi penghasilan dengan alat batu Kota Tampan dan Gua Gunung Runtuh. Ekskavasi arkeologi di Gua Teluk Kelawar juga menemui serpihan tembikar bertanda tali yang awal, sekitar 6,000 tahun dahulu. Sisa-sisa fauna tulang dan cengkerang yang dikenalpasti termasuk cengekerang sungai jenis spesis Brotia costula dan Brotia spinosa dan haiwan seperti monyet (Macaca sp.), kijang (Muntiacus munjak), babi hutan (Sus sp.), dan reptilia.

Satu rangka manusia berusia 8000 tahun yang digelar Perak Woman telah dijumpai di Gua Teluk Kelawar pada tahun 2004. Perak Woman mempunyai ketinggian 148sm dan dipercayai berumur 40 tahun ketika dikebumikan.

Back to Top