Lembah Lenggong Warisan Dunia

Lembah Lenggong Warisan Dunia

Tidak lengkap rasanya jika menjelajah ke negeri Perak tanpa singgah ke tempat bersejarah yang terletak di sekitar daerah Hulu Perak. Beberapa lokasi menarik sarat dengan maklumat tinggalan sejarah awal penempatan dan ketamadunan manusia.

Kawasan yang menjadi tumpuan ahli kaji purba ini tidak lain adalah Lembah Lenggong. Lokasi tersembunyi yang berjaya dibongkar itu membuktikan wujudnya kegiatan awal manusia di Semenanjung Malaysia. Selepas rangka-rangka manusia purba dan artifak zaman awal tamadun Tanah Melayu ditemui di sini, Lenggong semakin dikenali sebagai salah satu tapak bersejarah di dunia.

Di lembah ini juga terdapat begitu banyak gunung batu kapur yang menyembunyikan sebuah lagi rahsia iaitu gua. Gua ini pula kemungkinan dijadikan sebagai penempatan manusia prasejarah beribu-ribu tahun lalu dan ia amat penting sebagai rujukan pengkaji sejarah selain beberapa barangan purba turut ditemui. Di sinilah tersimpannya habitat tertua manusia di semenanjung selain membongkar keindahan kawasan perkampungan penduduk dengan kewujudan desa-desa, dusun buah-buahan dan rimbunan pepohon yang meliputi kawasan ini.

Melangkah ke Lembah Mencari Sejarah Purba

Tidak semua yang tahu bahawa di Semenanjung Malaysia, hanya dua tapak bagi zaman Paleolitik atau Zaman Batu ditemui dan berada di Lembah Lenggong. Tapak yang dikenali sebagai Kota Tampan dan Bukit Jawa ini berhasil memberikan fakta sejarah berusia 75,000 tahun. Di sebalik dua tapak terbuka ini, Kota Tampan dipercayai menjadi salah satu daripada penempatan awal manusia dan ia juga membuktikan bahawa tempat ini pernah menjadi kawasan pengeluar peralatan yang dihasilkan daripada batu.

Meskipun terdapat beribu-ribu peralatan ditemui batu ditemui, namun kawasan ini sudah menjadi kawasan pertanian lereng bukit dan dipercayai pernah dihuni oleh mereka yang tinggal di pinggir tasik. Lebih banyak lagi lokasi-lokasi tersembunyi yang ditemui di Bukit Jawa berjaya membuktikan banyak tinggalan sejarah berusia lebih 200,000 tahun lalu menjadi idaman pencinta sejarah.

Pusat Bagi Penempatan Zaman Batu

Penerokaan Lembah Lenggong pula penting kepada pengkaji sejarah yang mahu membongkar bukti-bukti sahih penempatan awal manusia sebagaimana rangka manusia pertama, Perak Man. Mereka menemui rangka-rangka dan tengkorak manusia berusia 11,000 tahun pada 1991.

Di samping itu, hasil penemuan peralatan batu berusia 100,000 tahun di Kampung Geluk dan Kampung Temelong, menambah keyakinan bahawa tapak ini adalah lokasi penghasilan gangsa ketika Zaman Gangsa. Sungguhpun beberapa penemuan di Lenggong berusia seiring dengan Zaman Batu, namun ia juga dikenal pasti sebagai tapak yang dimiliki oleh manusia di Zaman Batu Baru yang mula menjalankan kerja-kerja memburu dan berhimpun membuat kerja perladangan malahan menghasilkan tembikar.

Gua Gunung Runtuh turut menunjukkan bahawa ia pernah menjadi kediaman manusia manakala sebuah lagi tapak purba yang dikenali sebagai Gua Harimau kemungkinan digunakan sebagai kubur kira-kira 5,000 tahun dahulu. Beberapa rangka manusia turut ditemui bersama kapak besi dengan pelbagai perhiasan badan seperti rantai, gelang, anting-anting dan loket.

Bekas porselin pelbagai bentuk dan saiz juga ditemui bersama cengkerang siput. Gua Puteri adalah terowong semulajadi yang tembus sehingga Bukit Kajang, namun tidak terdapat sebarang bukti sejarah di situ. Di sini, dua batu stalagmitnya dikatakan sebagai putera dan puteri yang menjaga gua. Bagi penduduk tempatan, mereka ada kisah misteri tersendiri yang dijadikan sebagai amaran atau peringatan sekiranya ada pelawat menjelajah gua itu.

Gua ini yang dikenali sebagai Gua Badak juga mengandungi banyak lukisan gua yang dibuat oleh puak Orang Asli Negrito kira-kira 100 tahun lalu. Ia kelihatan seperti lakaran menyerupai haiwan, orang dan pokok. Tempat itu biasanya dijadikan habitat oleh Lanoh Negrito yang masih lagi wujud di Perak sehingga hari ini dan mereka menghuni gua itu. Puak ini sering berburu dengan senjata yang dibuat daripada batu dan bergantung kepada haiwan liar sebagai sumber kehidupan.

Penempatan Manusia Purba

Gua Gunung Runtuh di Bukit Kepala Gajah adalah tempat bersemadinya Perak Man yang ditemui pada 1991. Kajian menunjukkan bahawa rangka 11,000 tahun itu dipercayai berumur dalam lingkungan 50-an dan mempunyai ketinggian 157 sentimeter (cm). Satu lagi rangka purba 8,000 tahun turut ditemui di Gua Teluk Kelawar pada 2004 dipercayai milik seorang wanita berumur 40-an, tinggi 148 sentimeter (cm).

Menyedari hakikat kepentingan sumber tinggalan sejarah, Kabinet bersetujumenjadikan Lembah Lenggong sebagai tapak warisan dunia selepas Georgetown di Pulau Pinang dan Melaka. Malaysia dijangka menyerahkan satu laporan dan kertas cadangan kepada Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kawasan berkenaan untuk diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia.

Back to Top